SHAH ALAM, 13 NOV: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menganjurkan Program Safe Helmet bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai kepentingan pemakaian topi keledar dengan betul dan selamat.
Program yang mendapat sokongan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Daerah Hulu Selangor ini merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya di kalangan generasi muda.
“Penganjuran program ini menyokong pelaksanaan Program Bandar Selamat daerah Hulu Selangor yang menekankan aspek keselamatan komuniti.
“Usaha ini diharap dapat melahirkan generasi yang berdisiplin ketika memandu,” kata MPHS menerusi kenyataan di Facebook.
Program tersebut disempurnakan oleh Timbalan Pengarah JPJ Negeri Selangor, Dato’ Ahmad Kamarunzaman Mehat. Turut hadir Penolong Pegawai Perancang Bandar dan Desa, Nurazhar Mohammad Jaini.
Sebanyak 150 sijil penyertaan dan topi keledar diserahkan kepada pelajar Sekolah Kebangsaan Rasa, Hulu Selangor dalam sesi simbolik penyerahan, sebagai langkah menggalakkan pemakaian topi keledar sejak usia muda.
Langkah ini selari dengan inisiatif Program Bandar Selamat, yang memberi penekanan kepada keselamatan jalan raya dan pembentukan tabiat pemanduan berdisiplin di peringkat sekolah.







