ad

Pemancing maut disambar petir di Langkawi

13 Nov 2025, 1:27 AM
Pemancing maut disambar petir di Langkawi

ALOR SETAR, 13 NOV: Lelaki maut disambar petir ketika pulang daripada memancing bersama rakan-rakannya di Jeti Nelayan Teluk Baru, dekat Langkawi, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Khairul Azhar Nuruddin berkata Ishak Hashim, 57, dari Kampung Berjaya, Langkawi disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.

“Mangsa yang juga pemilik bot keluar memancing bersama tiga rakannya pada 8 pagi melalui jeti nelayan itu. Kira-kira 7.20 malam mereka pulang semula ke jeti selepas selesai memancing dan ketika itu hujan dan semuanya berlindung di bawah bumbung jeti berkenaan.

“Sebelum itu, mangsa sempat mencuci bot dan menunaikan solat Maghrib sebelum mengambil keputusan pulang ke rumah walaupun dalam keadaan hujan kerana sudah basah dan tidak tahan sejuk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata ketika hendak mengambil batang pancing, mangsa disambar petir menyebabkannya jatuh ke bawah jeti.

“Orang awam yang berada di situ turut membantu mengangkat mangsa naik ke atas bot sebelum dibawa ke darat. Mangsa yang tidak sedarkan diri dihantar ke hospital kira-kira 8.35 malam sebelum disahkan meninggal dunia sejam kemudian.

Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

- BERNAMA