SHAH ALAM, 12 NOV: Kegiatan licik sindiket memproses dan membekal minyak pelincir enjin kenderaan tiruan menggunakan minyak terpakai terbongkar selepas enam premis di sekitar Ampang diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, hari ini.
Pengarahnya, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata operasi bersepadu bersama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan wakil cap dagang itu dilakukan hasil risikan selama dua bulan.
“Hasil serbuan, kita menahan 42 individu termasuk 14 warga tempatan dan 28 warga asing berusia bawah 45 tahun.
"Turut dirampas minyak pelincir enjin pelbagai jenama serta mesin pemprosesan dengan nilai keseluruhan RM1 juta,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati keenam-enam premis itu dipercayai beroperasi di bawah satu rangkaian sindiket yang aktif sejak enam bulan lalu dan menjalankan pelbagai fungsi pengeluaran.
“Premis pertama digunakan untuk menghasilkan botol, premis kedua bagi kerja memasukkan minyak ke dalam botol, premis ketiga dan keempat sebagai stor penyimpanan bahan mentah dan produk siap.
"Premis kelima pula menyimpan alat ganti kenderaan seperti palam pencucuh manakala premis keenam dijadikan pejabat pengurusan,” katanya.
Tambah beliau, minyak pelincir terpakai itu dipercayai disuling semula dan dicampur minyak asas serta pewarna tiruan sebelum dibungkus dalam botol baharu yang ditampal pelekat dan nombor siri bagi mengelirukan pengguna.
“Kita percaya barangan itu untuk pasaran tempatan, dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran serta pelanggan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019.




