Menteri puji STAP 2026, galak negeri ikuti langkah Selangor

11 Jun 2026, 1:00 PM
Menteri puji STAP 2026, galak negeri ikuti langkah Selangor
Menteri puji STAP 2026, galak negeri ikuti langkah Selangor

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Program Selangor Triple Accelerator (STAP) 2026 yang dilancarkan hari ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan Twin Accelerator dalam memperkasakan ekosistem syarikat pemula, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Datuk Chang Lih Kang berkata kerjasama antara Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) dan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) menjadi contoh terbaik kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam memperkukuh laluan daripada inovasi kepada pengkomersialan.

“Ini merupakan contoh yang sangat baik apabila kerjasama strategik diwujudkan antara agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, sekali gus membolehkan kita membangunkan ekosistem dengan lebih tersusun,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program itu di MRANTI Park, hari ini.

Beliau berkata kerajaan kekal komited menyokong usahawan teknologi, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pemula menerusi pembiayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengkomersialan, pembangunan standard serta sokongan kawal selia.

Menurutnya, inisiatif berkenaan membantu syarikat tempatan memperluaskan perniagaan ke peringkat serantau dan global.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) Yong Kai Ping (dua dari kanan) merasmikan pelancaran Program Selangor Triple Accelerator (STAP) 2026 di MRANTI Park, Kuala Lumpur pada 11 Jun 2026. — Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

STAP 2026 merangkumi tiga landasan utama iaitu DeepX yang memberi tumpuan kepada teknologi mendalam seperti kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan bioteknologi; RetailX yang membantu PKS mengadaptasi operasi digital dan omnisaluran; serta TokenX yang memfokuskan aset digital, teknologi blockchain dan Web3.

Ketika ditemui media selepas majlis pelancaran, Lih Kang berkata program seumpama itu memainkan peranan penting dalam membina kapasiti serta daya tahan industri.

“Saya menggalakkan semua negeri melakukan perkara sama dan agensi Persekutuan akan memberikan kerjasama serta komitmen terbaik kepada mana-mana negeri yang mahu mewujudkan inisiatif seumpama ini.

“Saya melihat banyak hasil yang baik serta syarikat pemula yang sangat memberi inspirasi daripada program ini,” katanya.

Beliau berkata majoriti peserta terdiri daripada usahawan muda dan latihan berstruktur yang disediakan oleh SIDEC serta MRANTI mampu membantu mereka meningkatkan kemahiran perniagaan, kebolehan pembentangan idea (pitching) dan keupayaan teknologi.

“Dengan latihan yang sistematik ini, saya berharap ia dapat membantu mereka mencapai kejayaan yang lebih besar dalam kerjaya masing-masing,” katanya.

Lih Kang turut menjelaskan program itu tidak terhad kepada AI semata-mata, sebaliknya meliputi bidang yang lebih luas termasuk peruncitan, teknologi mendalam dan tokenisasi.

Beliau juga menyambut baik pengenalan Vera AI oleh SIDEC, sambil menyifatkan penggunaan AI sebagai antara keutamaan utama dalam agenda digital negara.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.