SHAH ALAM, 12 NOV: Perdana Menteri mengingatkan penjawat awam supaya terus meningkatkan kecekapan perkhidmatan tanpa berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai setakat ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha membina sebuah negara yang hebat bukan tugas mudah, malah pelbagai cabaran dan ujian akan sentiasa datang seiring perjalanan membangunkan bangsa dan negara.
“Penjawat awam juga perlu memperkukuh nilai amanah, integriti dan dedikasi dalam setiap pelaksanaan tugas.
“Pesanan saya, jangan sekali-kali meruntuhkan apa yang telah kita bina bersama kerana kestabilan dan keharmonian yang dinikmati hari ini hanya akan kekal jika kita terus mempertahankannya dengan penuh iltizam, tanggungjawab dan keikhlasan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Perdana Menteri menyampaikan pesanan itu ketika merasmikan Simposium Pembangunan dan Anugerah Pembangunan Negara (SPAPN) 2025.
Anwar menegaskan menjadi tanggungjawab semua pihak, termasuk penjawat awam, untuk terus memelihara kesatuan dan perpaduan negara.




