ad

Bot karam: Dua lagi mayat ditemui di perairan Langkawi

12 Nov 2025, 7:59 AM
Bot karam: Dua lagi mayat ditemui di perairan Langkawi

LANGKAWI, 12 NOV: Operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam yang dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan sempadan Malaysia-Thailand yang memasuki hari keempat, hari ini menemukan dua lagi mayat pagi tadi.

Penemuan itu sekali gus menjadikan 22 mangsa ditemukan maut setakat ini manakala 14 lagi dijumpai selamat.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata pada Pasukan Polis Marin (PPM) menjumpai satu mayat lelaki terapung di perairan berhampiran Pulau Singa Besar pada jam 10.10 pagi.

“Mayat berkenaan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia oleh bot PSC 19 dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Tidak lama selepas itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut memaklumkan menemukan satu mayat lelaki di Selat Chincin berhampiran Pulau Anak Datai. Mayat dibawa ke Jeti Kubang Badak dan diserahkan kepada polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata operasi yang disambung pada jam 7.30 pagi tadi diperluaskan ke 329.67 batu nautika persegi melibatkan pembahagian kepada 14 sektor pencarian.

“Operasi disertai 200 pegawai dan anggota pelbagai agensi termasuk melibatkan kekuatan 14 aset udara dan laut dari Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), JBPM, PPM serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya.