ad

Namewee ada hubungan istimewa dengan pempengaruh warga Taiwan yang maut

11 Nov 2025, 7:37 AM
Namewee ada hubungan istimewa dengan pempengaruh warga Taiwan yang maut

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Penyanyi rap kontroversi Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee dipercayai mempunyai hubungan istimewa dengan pempengaruh wanita warga Taiwan yang ditemui maut di sebuah hotel di ibu negara bulan lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata hasil siasatan mendapati kedua-dua mereka dipercayai telah bersama sejak dari luar negara sebelum tiba di Malaysia.

“Setakat ini, siasatan mendapati lelaki itu memang mempunyai hubungan istimewa dengan mangsa.

"Kita juga telah merakam keterangan semua saksi yang terlibat dalam kes ini,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau berkata, perkembangan siasatan ketika ini adalah positif, namun polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat dan laporan toksikologi bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Lelaki itu juga memberi kerjasama dalam membantu siasatan,” katanya.

Fadil turut memaklumkan mayat wanita berkenaan masih belum dituntut oleh ahli keluarga.

“Ada individu yang cuba menuntut (mayat) tetapi tidak dibenarkan kerana tiada autoriti. Kita meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tentang keluarga mangsa untuk tampil membantu siasatan,” katanya.

Tambahnya, pihak polis akan mengemukakan cadangan pertuduhan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) sebaik kertas siasatan dilengkapkan.

“Siasatan masih diteruskan dan kita akan usahakan lagi berdasarkan bukti yang ada. Kita akan kemukakan cadangan (pertuduhan) kepada (pejabat) Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Namewee disambung reman tiga hari lagi bermula Selasa hingga Khamis bagi membantu siasatan kes tersebut selepas tempoh reman pertama berakhir Isnin lalu.

Penyanyi berusia 42 tahun itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 5 November selepas diminta hadir bagi membantu siasatan.