KLANG, 10 NOV: Kumpulan Acmar dengan kerjasama Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) menganjurkan Pertandingan Reka Bentuk Antarabangsa Pelan Induk Pembangunan Bandar Baharu Klang, yang menghimpunkan penyertaan pelajar daripada 100 universiti di 40 negara.
Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussain berkata pertandingan tersebut membuka peluang kepada pelajar antarabangsa untuk mengemukakan idea baharu dalam perancangan bandar yang mampan, moden dan berdaya saing, seiring aspirasi menjadikan Klang sebagai hab pembangunan strategik di Selangor.

“Klang merupakan bandar lama yang memiliki sejarah tersendiri, dan pembangunan di Bandar Baharu Klang perlu mengambil kira pelbagai aspek bagi meningkatkan nilai ekonomi serta kesejahteraan penduduk.
“Melalui pertandingan ini, pelbagai idea reka bentuk bertaraf antarabangsa boleh diterapkan, namun kita berharap cadangan yang dikemukakan bersifat praktikal dan sesuai dengan adat serta budaya tempatan,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran pertandingan di Hotel Wyndham Acmar Klang, di sini, hari ini.
Beliau memaklumkan, pemenang pertandingan akan menerima hadiah wang tunai RM12,000, selain trofi dan sijil penghargaan.
Terdahulu, Abd Hamid turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) antara UTAR dan Kumpulan Acmar bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang seni bina, reka bentuk bandar serta perancangan pembangunan mampan.

“UTAR sebagai institusi berpengalaman dalam bidang seni bina dan reka bentuk bandar berperanan membantu membangunkan pelan serta konsep pembangunan Bandar Baharu Klang secara lebih terancang dan berdaya maju.
“Sementara itu, Acmar selaku pemilik tanah tampil dengan inisiatif yang melibatkan institusi akademik, yang dijangka memberi impak positif terhadap pembangunan daerah Klang dan ekonomi setempat,” ujarnya.




