AGENDA

KKM, Utar kerjasama perluas akses khidmat perubatan tradisional

29 Apr 2025, 7:26 AM
KKM, Utar kerjasama perluas akses khidmat perubatan tradisional

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Rakyat Malaysia kini boleh menikmati akses lebih meluas kepada perkhidmatan Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar), pada Sabtu lepas.

MoU berkenaan telah ditandatangani oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan bersama Pengerusi Lembaga Pengelola Hospital Utar, Prof Emeritus Tan Sri Dr Chuah Hean Teik.

Muhammad Radzi berkata MoU tersebut membolehkan pegawai perubatan di fasiliti KKM merujuk pesakit yang memerlukan perkhidmatan PT&K ke Pusat Perubatan Tradisional dan Komplementari (T&CM) Utar, dengan potongan caj istimewa yang perlu ditanggung oleh pesakit sendiri.

“Kerjasama antara KKM dengan Utar ini bertujuan memperluaskan akses dan memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan PT&K yang selamat dan berkualiti kepada rakyat Malaysia. Ia selaras dengan Dasar PT&K Kebangsaan yang mengiktiraf perkhidmatan ini sebagai satu komponen yang penting dalam sistem penjagaan kesihatan negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

--BERNAMA