ad

Limpahan rezeki saku terakhir usahawan U-PLATS

8 Nov 2025, 1:00 AM
Limpahan rezeki saku terakhir usahawan U-PLATS
Limpahan rezeki saku terakhir usahawan U-PLATS
Limpahan rezeki saku terakhir usahawan U-PLATS

Pernah merasai titik terendah dalam hidup, menjadi tukang potong rumput dengan upah hanya RM30 sehari, kini pendapatan bulanannya mencecah RM50,000 sebulan.

Pengalaman 'memperjudi' RM120 terakhir dalam tangan hingga meraih puluhan ribu ringgit sebulan, itu bukan kisah dongeng, tetapi realiti seorang lelaki bernama Ishak Mohamed Samsi.

Kisah pemilik perniagaan Ishak Baiki Kipas bukan sekadar tentang perniagaan, tetapi tentang keberanian melangkah semula setelah jatuh, dan kasih seorang isteri yang menyalakan kembali api perjuangan.

Segalanya bermula dengan langkah kecil penuh nekad pada 2024 apabila dia menyertai program Latihan Pembangunan Usahawan PLATS (U-PLATS) Digital.

Program itu bukan sekadar membuka peluang perniagaan, malah mengubah dirinya daripada seorang pendiam menjadi figura yang kini petah berbicara di hadapan ribuan penonton di TikTok.

“Sebenarnya sebelum saya menyertai U-PLATS, saya sangat kaku untuk bercakap depan kamera malah depan orang pun. Walaupun saya ada pekerja, boleh cakap depan pekerja, tapi saya tak boleh bercakap depan orang yang saya tak kenal. Saya sangat-sangat gemuruh.

"Akhirnya hari ini saya boleh cakap depan-depan. U-PLATS tempat mula-mula saya tahu masalah saya ini dan tempat mula-mula saya cuba melawan perasaan takut itu. Itulah perubahan yang paling besar yang saya dapat,” katanya.

Ishak Mohamed Samsi di bengkelnya, Ishak Baiki Kipas di Putra Perdana, Puchong pada 16 Oktober 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Keajaiban bulan Ramadan

Hampir sedekad Ishak berkhidmat sebagai juruteknik pendingin hawa. Tahun 2012 menjadi titik permulaan apabila beliau nekad membuka perniagaan sendiri.

Tapi langit tidak selalunya cerah — empat tahun kemudian, perniagaan itu lingkup. Dengan perniagaan yang musnah dan anak-anak yang masih kecil, dia terpaksa menelan pahit realiti.

Demi sesuap nasi, dia mengambil upah memotong rumput dengan bayaran hanya RM30 sehari. Ia tidak cukup untuk menampung keluarga.

Buntu dan tertekan, dia akhirnya memutuskan untuk pulang ke kampung. Namun di saat paling gelap, hadir secebis cahaya — datang daripada insan tersayang, isterinya Siti Norafida Siman.

“Masa itu lagi sembilan hari nak raya. Saya tak ada apa-apa langsung, cuma RM120 dalam poket.

"Tengah kemas rumah sebab nak balik kampung, saya bersihkan kipas. Isteri tiba-tiba cadangkan supaya saya buat perkhidmatan baiki kipas,” katanya perlahan, mengimbau detik sukar itu.

Dengan baki wang yang tinggal, Ishak cuba mengubah nasib. Malam itu juga, beliau memuat naik satu hantaran di Facebook menawarkan khidmat membaiki kipas. Tidak disangka, keajaiban kecil berlaku.

“Pukul 12.30 tengah malam saya ‘post’ di Facebook. Jam 4 pagi bangun masak untuk sahur, saya buka semula dan nampak lebih 100 komen pelanggan.

"Saya guna RM120 terakhir untuk beli ‘spare part’ dan sepanjang sembilan hari itu saya berjaya dapat RM9,000,” katanya tersenyum, mengenang titik mula kebangkitannya.

Dari ruang tamu kecil di rumahnya, kini nama Ishak Baiki Kipas mekar hingga ke Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Daripada hanya dua tangan, kini tujuh pekerja menjadi tulang belakang perniagaannya.

Ishak Mohamed Samsi memeriksa bahagian eletronik kipas di bengkelnya, Ishak Baiki Kipas di Putra Perdana, Puchong pada 16 Oktober 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Dari pemotong rumput ke usahawan U-PLATS

U-PLATS pula menjadi jambatan yang memperkukuh langkahnya. Melalui bimbingan dan latihan keusahawanan digital, Ishak belajar memanfaatkan platform dalam talian bagi mengembangkan jenama dan menarik pelanggan baharu.

Kini, perniagaannya mampu menjana pendapatan sekitar RM50,000 sebulan — angka yang dulu mungkin hanya mimpi buat seorang pemotong rumput.

Ishak percaya, kejayaan bukan milik yang beruntung, tetapi milik mereka yang tidak berputus asa.

“Program seperti U-PLATS wajar diteruskan kerana memberi impak besar kepada usahawan kecil seperti saya.

"Melalui program itu, saya bukan sahaja dapat ilmu keusahawanan, tetapi juga keyakinan untuk mengembangkan perniagaan dengan lebih tersusun,” katanya.

Memandang ke hadapan, Ishak berhasrat menubuhkan pusat latihan sendiri — tempat untuk anak muda belajar membaiki kipas dan membina masa depan melalui kemahiran.

“Saya sebenarnya berharap kalau-kalau saya dapat buka satu pusat kemahiran mengajar membaiki kipas kepada anak-anak muda.

"Mungkin lepas ni saya boleh jumpa pihak berkaitan untuk saya curahkan ilmu saya kepada generasi pelapis ini,” katanya.