ad

Pemegang kad UNHCR pandu lori tanpa lesen ditahan

10 Nov 2025, 3:53 AM
Pemegang kad UNHCR pandu lori tanpa lesen ditahan

SHAH ALAM, 10 NOV: Seorang pemandu warga asing ditahan dalam Ops Khas Kenderaan Perdagangan yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor di Plaza Tol Sungai Balak, Kajang, semalam.

Hasil pemeriksaan mendapati pemandu terbabit yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) melakukan beberapa kesalahan utama termasuk tiada lesen memandu vokasional (GDL), tiada lesen memandu kompeten (CDL) serta kesalahan teknikal pada kenderaan yang dikendalikan.

JPJ Selangor memaklumkan kenderaan perdagangan tersebut telah disita dan dibawa ke Stesen Penguat Kuasa (SPK) Semenyih untuk tindakan lanjut mengikut undang-undang ditetapkan.

“Kami sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan terhadap semua aduan berkaitan pemanduan kenderaan perdagangan, termasuk melibatkan warga asing,” menurut kenyataan itu.

Operasi tersebut merupakan sebahagian daripada usaha JPJ memastikan semua kenderaan perdagangan di negeri ini mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya, terutama bagi mengelak risiko kemalangan akibat kecuaian atau pemanduan tanpa lesen sah.

“Orang ramai diingatkan agar menyalurkan sebarang maklumat atau aduan trafik melalui e-mel rasmi aduantrafik@jpj.gov.my,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan memaklumkan sebanyak 5,915 kesalahan membabitkan pemandu lori warga asing direkodkan sejak Januari di Selangor.

Malah, Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Tan Sri Lee Lam Thye menegaskan, tindakan pengusaha lori yang menggaji pemandu warga asing tanpa lesen mengendalikan kenderaan berat bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah turut membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.