SHAH ALAM, 10 NOV: Seorang pesawah didakwa di Mahkamah Majistret Jitra, Kedah hari ini atas pertuduhan membunuh abang iparnya dengan menetak mangsa dalam kejadian bulan lalu.
Tertuduh, Mohd Faizal Awang, 38, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri, lapor Berita Harian.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Nasir Md Nayan, 45, di kawasan bendang Kampung Pida 3, Tunjang, antara jam 6.30 hingga 7 petang pada 31 Oktober lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun serta 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nasruna Anhar Nordien, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 12 Januari depan untuk sebutan semula kes serta penyerahan dokumen.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki maut ditetak adik iparnya hingga putus kepala di kawasan sawah Kampung Pida 3, Jerlun.
Mangsa ditemukan dalam keadaan menyayat hati, diselaputi lumpur dengan kepala terpisah kira-kira satu meter dari badannya.
Suspek yang ketika itu berada di rumahnya, kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian, ditahan polis selepas dipujuk hampir 15 minit dalam keadaan masih memegang parang.
Hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah, manakala keluarganya memaklumkan dia mengalami gangguan mental.


