SABAK BERNAM, 10 NOV: Karnival Ban Canal 2025 berakhir dengan penuh warna dan keceriaan, mengikat semula semangat komuniti apabila ribuan pengunjung berkumpul, berseronok dan berkongsi rezeki bersama peniaga tempatan.
Selain mengangkat budaya dan identiti setempat melalui pelbagai aktiviti tradisional, penganjuran tiga hari ini turut membawa limpahan manfaat ekonomi kepada komuniti, terutamanya peniaga kecil.

Bagi peniaga makanan, Intan Juliana Mansah, 45, kehadiran pengunjung yang luar biasa melonjakkan pendapatannya.
“Pendapatan agak tinggi, dalam anggaran lebih RM3,000 ke RM5,000 sepanjang tiga hari ini. Penganjuran program ini berpotensi meningkatkan ekonomi penduduk.
“Kalau boleh, program seperti ini diadakan dua kali setahun supaya dapat membantu menambah pendapatan penduduk kampung,” ujarnya yang berniaga sejak tahun 2000 dan hanya membuka gerai ketika acara besar berlangsung.

Sementara itu, usahawan pucuk ubi goreng, Hasni Kassim, 59, berpendapat Ban Canal berfungsi sebagai platform terbaik untuk memperkenalkan produk tempatan serta potensi pelancongan Sungai Panjang dan Sabak Bernam kepada pelawat dari dalam dan luar negara.
“Ramai orang luar tak tahu apa yang ada di Sungai Panjang. Sebenarnya banyak produk tempatan, termasuk beras wangi tempatan. Biasanya orang ingat beras wangi diimport dari Siam, tetapi di sini kita ada keluaran sendiri.
“Program ini wajar dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri dan negara kerana saban tahun ia semakin menarik minat ramai pelancong,” katanya sambil mencadangkan lebih banyak sukan rakyat dianjurkan bagi menghidupkan kembali permainan tradisional.

Pengunjung bertuah, Norleanah Yunus, 54, yang memenangi hadiah utama motosikal elektrik, turut berkongsi keterujaannya menyertai acara tahunan itu.
“Rasa seronok, tak sangka menang hadiah utama. Program ini bagus sebab dapat mengeratkan silaturahim. Saya datang setiap tahun sejak 2022.
“Edisi tahun ini lebih menarik berbanding sebelumnya kerana lebih banyak aktiviti disediakan. Kepelbagaian gerai, produk serta aktiviti sukan rakyat menjadikan acara itu antara tarikan utama,” katanya.
Karnival Ban Canal 2025 anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI melalui inisiatif SABDA berlangsung sejak 7 November dengan pelbagai pengisian termasuk larian bendang, sukan air dan sukan rakyat, persembahan seni budaya, jualan usahawan tempatan serta segmen Bicara Malam Jumaat yang menjadi acara kemuncak tahunan.







