KLANG, 9 NOV: Acara Klang Royal City Marathon 2025 menampilkan keistimewaan tersendiri apabila kategori funwalk sejauh tiga kilometer (3km) turut disertai golongan orang kurang upaya (OKU).
Datuk Bandar Klang, Dato' Abd Hamid Hussain berkata, beliau berkesempatan berjumpa dengan beberapa peserta termasuk dari Kuala Lumpur dan terharu melihat semangat mereka menyertai acara tersebut.
"Kehadiran golongan OKU dalam larian ini memberi makna besar kerana mereka juga mahu menjadi sebahagian daripada masyarakat."

"Program seperti ini membuka ruang kepada semua lapisan untuk bersama-sama menikmati aktiviti sihat," katanya ketika ditemui selepas melepaskan peserta larian program itu, hari ini.
Beliau berharap agar lebih banyak penganjuran seumpama ini diteruskan bagi memberi peluang kepada OKU menyertai aktiviti komuniti di mana-mana sahaja.
Dalam pada itu, Dato' Abd Hamid turut menzahirkan penghargaan kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) atas kelulusan menggunakan Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) sebagai laluan maraton tersebut.

"Ini kali pertama acara seumpama ini diadakan di WCE yang baru beroperasi."
"Terima kasih kepada LLM atas kerjasama yang membolehkan penganjuran berjalan lancar. Jika ada peluang lagi, kami akan terus menganjurkan program seperti ini," katanya.
Katanya penganjuran itu mendapat penyertaan amat menggalakkan dengan lebih 5,000 peserta mengambil bahagian dalam pelbagai kategori termasuk funwalk 3km, 5km, 10km, 21km dan 42km.





