SHAH ALAM, 9 NOV: Sebuah bot dipercayai membawa 90 pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada Myanmar, Bangladesh dan Rohingya pecah di laut berhampiran sempadan perairan Malaysia-Thailand dengan enam ditemui selamat, dan seorang wanita Myanmar disahkan maut setakat ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata bot berkenaan sebahagian daripada kapal besar yang membawa kira-kira 300 orang sebelum dihantar sindiket ke tiga bot kecil sewaktu menghampiri sempadan negara, lapor Berita Harian.
"Tiga hari lalu, ketika hampir tiba di sempadan, kumpulan itu dipecahkan oleh sindiket dan dipindahkan ke tiga bot kecil, masing-masing memuatkan lebih kurang 90 orang.
"Bot yang membawa 90 orang itu dipercayai karam, manakala dua lagi masih belum dapat dikesan," katanya.
Menurutnya, enam mangsa yang ditemui terdiri warga Myanmar termasuk etnik Rohingya, selain Bangladesh.
Katanya, tiga mangsa pertama yang ditemui adalah lelaki Myanmar, manakala tiga lagi yang ditemui petang tadi terdiri dua Rohingya dan seorang warga Bangladesh.
"Sementara itu, mayat seorang wanita Rohingya turut ditemui hanyut di laut," katanya.
Mengulas lanjut, Adzli berkata, setiap individu membayar kira-kira RM13,000 kepada sindiket bagi perjalanan ke Malaysia.
"Kapal yang bawa 300 orang bercampur Myanmar, Bangladesh dan Rohingya sejak sebulan lalu.
"Mereka difahamkan membayar RM13,000 seorang dan ada yang hingga menjual tanah untuk membayar sindiket datang ke sini," katanya.
Katanya, siasatan lanjut kini masih dijalankan.
Dalam pada itu, Adzli berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan dengan bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Pasukan Polis Marin (PPM) untuk mengesan mangsa lain serta baki bot yang hilang.




