SHAH ALAM, 8 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam sempena Ulang Tahun ke-66 Dewan Negeri Selangor (DNS) di Hotel Concorde di sini malam ini.
Keberangkatan tiba Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin disambut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Speaker DNS Lau Weng San.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, barisan EXCO, Ahli Dewan Negeri serta barisan pentadbiran Kerajaan Negeri.
Sempena detik bersejarah 66 tahun Dewan Negeri Selangor, Sultan Sharafuddin berkenan menyempurnakan pelancaran Setem Edisi Khas hasil kerjasama Pejabat DYMM Sultan Selangor dan Istana Selangor.

Weng San dalam sembah ucapannya berkata Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), Pos Malaysia Berhad dan Seksyen Komunikasi Korporat turut terlibat membantu dalam penghasilan serta penggambaran imej untuk dijadikan setem berkenaan.
“DNS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-66 DNS pada malam yang penuh bermakna ini.
“Malam ini adalah malam yang istimewa, bukan sahaja untuk meraikan ulang tahun penubuhan institusi yang kita cintai ini, tetapi juga untuk merenung kembali perjalanan panjang dan penuh cabaran yang dilalui DNS.
“66 tahun adalah satu jangka masa panjang menyaksikan pelbagai perubahan landskap politik, ekonomi dan sosial baik di Selangor mahupun di peringkat nasional,” katanya.

Jelas Weng San penubuhan DNS juga membantu mengubah Selangor dari sebuah negeri pertanian kepada enjin ekonomi yang dinamik dan moden serta menyumbangkan lebih daripada satu per empat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
“Sejak penubuhannya, DNS menjadi jantung demokrasi di negeri ini. Ia adalah medan di mana suara rakyat dizahirkan di mana dasar penting dibahaskan dan undang-undang digubal demi kemajuan dan kesejahteraan seluruh warga Selangor.
“Dari dewan inilah, pelbagai inisiatif progresif, dasar, rancangan pembangunan, enakmen dan usul dilancarkan, dipertimbangkan dan diluluskan mengubah Selangor dari sebuah negeri pertanian kepada sebuah enjin ekonomi yang dinamik dan moden serta menyumbangkan lebih daripada satu per empat KDNK Malaysia,” katanya.
Dewan Negeri Selangor dijadual bersidang selama dua minggu bermula 14 November ini.









