SABAK BERNAM, 8 NOV: Projek menaik taraf ban yang menyebabkan limpahan air laut di Kampung Seri Sentosa, Sekinchan baru-baru ini, dijangka siap sepenuhnya Mac tahun depan.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata, projek ban yang belum siap sepenuhnya itu mengakibatkan kebocoran ketika fenomena air pasang besar, sehingga menjejaskan kira-kira 20 rumah.
"Saya percaya struktur ban tersebut boleh diperkukuhkan. Kini, kita sedang mengambil langkah segera supaya ban itu tidak lagi dilimpahi air," katanya ditemui selepas merasmikan Karnival Ban Canal 2025 di Parit 14, Simpang Lima, Sabak Bernam hari ini.

Beliau menambah, tindakan segera telah diambil termasuk pemasangan pam serta penampan sementara bagi menghalang kemasukan air laut.
"Musim air pasang besar dijangka berakhir hujung minggu ini. Jika mengikut musimnya, limpahan air besar ini akan berakhir sekitar hujung minggu depan. Dengan itu, kita berharap kejadian seperti ini dapat dielakkan pada masa hadapan," jelasnya.
Menurut beliau, setakat ini, tiga keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Seri Sekinchan sementara kerja-kerja pemulihan dilaksanakan.
Fenomena air pasang besar awal pagi Khamis lalu menyebabkan berlakunya limpahan air di Pantai Parit Lima, Kampung Seri Sentosa, sehingga mengakibatkan hakisan dan kerosakan pada benteng.
Kejadian ini merupakan kali pertama insiden ban pecah berskala besar berlaku di kawasan tersebut.





