SHAH ALAM, 8 NOV: Jumlah pelaburan tahun ini dijangka mencatat angka memuaskan berikutan sejumlah RM35 bilion sudah direkodkan setakat suku pertama.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata pencapaian itu menunjukkan Selangor berada di landasan tepat di samping bakal menerima beberapa lagi pelaburan bernilai tinggi dalam masa terdekat.
“Itu kita akan umumkan nanti. Saya yakin tahun ini pencapaian kita agak baik dan memang ini harapan saya. Yakin akan dapat capai nilai pelaburan yang memuaskan. Setakat suku kedua kita rekodkan RM35 bilion dan ini memang memuaskan.
“Kita harap separuh kedua tahun ini dapat capai nilai pelaburan yang lebih tinggi. Setakat ini pelaburan suku ketiga masih belum diterima,” katanya kepada Media Selangor.
Tahun ini, pentadbiran menyasarkan pelaburan melebihi RM60 bilion, lebih tinggi berbanding RM55 bilion sasaran tahun lalu susulan kegiatan ekonomi yang semakin memberangsangkan.
Pada Julai, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan Selangor terus mengekalkan kedudukannya sebagai negeri peneraju ekonomi negara apabila mencatatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia dengan jumlah RM432.1 bilion bagi 2024.
Menurut agensi, pencapaian itu menyumbang 26.2 peratus kepada keseluruhan KDNK negara, sekali gus mengukuhkan peranan Selangor sebagai hab utama dalam sektor perindustrian dan perkhidmatan.
Negeri ini turut mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi memberangsangkan sebanyak 6.3 peratus, mengatasi purata nasional.






