SHAH ALAM, 8 NOV: Warna-warni adat serta budaya Malaysia bukan sahaja memukau rakyat tempatan, malah turut menarik perhatian pelajar antarabangsa yang teruja menyertai Majlis Santunan Kasih Pengantin Diraja Bersama Rakyat.
Pelajar jurusan Pentadbiran Perniagaan dari Romania, Vlad Mihai, 23, berkata beliau teruja berpeluang mengenali kepelbagaian budaya Malaysia dan menyifatkannya sebagai pengalaman terbaik sepanjang berada di negara ini.
“Ini pengalaman paling menyeronokkan kerana saya dapat hadir dengan memakai baju Melayu. Makanannya juga sedap, banyak pilihan, kebanyakannya pedas dan sangat sinonim dengan Malaysia,” katanya ketika ditemui Media Selangor.

Sementara itu, pelajar jurusan Perniagaan dan Ekonomi dari Jerman, Leonie Trendle, 23, menyifatkan program sebegini sangat istimewa kerana membolehkan beliau melihat sendiri keunikan budaya tempatan yang jarang terdapat di negaranya.
“Di Jerman, kami tidak memiliki acara seperti ini. Saya kagum melihat bagaimana semua orang tanpa mengira bangsa dan agama dapat berkumpul serta meraikan sesuatu dengan penuh rasa hormat dan kegembiraan. Ia benar-benar pengalaman bermakna,” katanya.

Seorang lagi pelajar dari Romania, Cimbru Cosmin-Andrei, 23, yang mengikuti jurusan Perniagaan Antarabangsa berkata, beliau memilih mengenakan pakaian tradisional Melayu sebagai tanda penghormatan terhadap budaya tempatan.
“Saya mahu merasai pengalaman sebenar berada di negara orang dan menghormati acara rasmi di sini dengan memakai baju Melayu. Semua orang sangat mesra dan ia pengalaman yang amat berharga buat saya,” ujarnya.

Ribuan rakyat Selangor membanjiri Dataran Kemerdekaan di sini malam tadi, bagi memeriahkan Majlis Santunan Kasih Pengantin Diraja sempena perkahwinan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz.
Majlis penuh adat itu bermula dengan ketibaan pasangan diraja tepat jam 8.55 malam, menaiki kereta Rolls-Royce dipandu sendiri Tengku Amir Shah sambil disambut sorakan dan tepukan gemuruh rakyat.
Baginda berdua kemudiannya beramah mesra dengan pengunjung sebelum berangkat ke kawasan padang untuk duduk santai bersama rakyat, mencerminkan hubungan mesra antara istana dan rakyat jelata.
Pasangan diraja ini dinikahkan pada 2 Oktober lalu oleh Mufti Selangor, Dato’ Dr Anhar Opir, disaksikan Tengku Panglima Raja Selangor Tengku Ahmad Shah Alhaj dan Tengku Indera Pahlawan Diraja Tengku Datuk Setia Putra Alhaj.









