ad

Media penggerak kesedaran masyarakat jaga khazanah alam

8 Nov 2025, 12:06 AM
Media penggerak kesedaran masyarakat jaga khazanah alam
Media penggerak kesedaran masyarakat jaga khazanah alam

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Pengamal media bukan sekadar menyampaikan berita, sebaliknya memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda pembangunan kerajaan khususnya dalam isu berkaitan alam sekitar.

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Dr Ching Thoo Kim berkata setiap laporan media membantu membina kefahaman awam terhadap pelbagai isu.

“Banyak isu melibatkan kementerian ini mendapat perhatian, antaranya kes kematian anak gajah di Gerik yang mendapat liputan meluas. Insiden itu memberi banyak pengajaran.

“Antara mesej utama yang dapat disampaikan ialah kepentingan menjaga alam sekitar dan khazanah negara yang tidak ternilai,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Media di sini, malam tadi.

Beliau berharap media terus menjadi jambatan penting antara kementerian dan masyarakat dalam menyebarkan mesej pemuliharaan alam sekitar.

Majlis tersebut menghimpunkan lebih 200 wakil media daripada pelbagai agensi berita, penyiaran dan penerbitan.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian kekal komited memperkukuh agenda kelestarian alam pada masa depan.

“Kementerian ingin membawa gaya hidup baharu dengan menjadikan kelestarian alam sebagai budaya dalam kehidupan seharian.

“Usaha ini mengambil masa, namun dengan sokongan media saya percaya hasrat membudayakan kelestarian alam dalam kalangan masyarakat dapat dicapai,” katanya.