ad

Ban pecah di Sekinchan, 35 keluarga terjejas, baik pulih dilaksana segera

7 Nov 2025, 11:57 AM

SEKINCHAN, 7 NOV: Fenomena air pasang besar malam tadi menyebabkan berlakunya limpahan air di Pantai Parit Lima, Kampung Sentosa, di sini, sehingga mengakibatkan hakisan dan kerosakan benteng.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan Dato' Ng Suee Lim berkata, kerja membaiki benteng pecah giat dilaksanakan menggunakan batu ambro serta pemasangan dua pam bagi mengalirkan keluar air.

"Paras air yang sebelum ini mencecah 3.3 hingga 3.4 meter kini menurun kepada 2.9 meter dan keadaan dilaporkan terkawal.

"Siasatan awal mendapati masalah reka bentuk terdahulu menyebabkan kira-kira 20 meter benteng pecah selepas dipukul ombak kuat. Kaedah baharu sedang digunakan bagi memperkukuh dan menaik taraf benteng," katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata, seramai 35 keluarga terjejas, manakala tanaman penduduk turut rosak akibat air masin dari laut yang memasuki kawasan kediaman.

"Bantuan segera disalurkan dengan kerjasama Pejabat Daerah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK), ketua kampung serta agensi berkaitan.

"Penduduk diminta memohon tabung bencana bersama laporan polis. Bantuan zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat turut digerakkan, manakala satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekinchan," ujarnya.

Menurutnya, kejadian itu merupakan kali pertama insiden ban pecah berskala besar di kawasan tersebut.

"Sebelum ini, hanya kerosakan kecil berlaku tanpa kemasukan air kritikal ke kampung. Penduduk dinasihatkan berwaspada dan meletakkan barangan penting di tempat tinggi. Kerajaan Negeri komited mengurangkan risiko serta kesusahan mangsa," tambah beliau.

Orang awam yang ingin melaporkan kejadian bencana boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di talian 019-333 3735.