HULU LANGAT, 7 NOV: Pelajar Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) berharap kemudahan infrastruktur di kampus dan asrama dapat ditambah baik bagi memastikan proses pembelajaran lebih selesa dan berkesan.
Pelajar jurusan Penyelenggaraan Kenderaan Perdagangan, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua, S Heerrannyapati, 20, berkata kekurangan peralatan khas di bengkel menyebabkan pelajar perlu bergilir-gilir menggunakannya antara kumpulan, sekali gus menjejaskan kelancaran sesi latihan.

“Kekurangan peralatan khas ini menyebabkan kami perlu mengambil masa yang lama dan ganggu jadual pembelajaran. Selain itu, infrastruktur di asrama juga perlu dibaiki terutama tingkap kaca yang ada antaranya sudah lopong dan boleh mendatangkan bahaya kepada pelajar,” katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, pelajar jurusan Reka Bentuk Teknologi Industri, IKTBN Dusun Tua, Nor Hanie Waffa Mohd Rizam, 20, berkata kekurangan komputer menjadi antara kekangan utama dalam menyiapkan tugasan dan projek.

“Penggunaan komputer sangat terhad kerana perlu berkongsi dengan pelajar semester lain. Malah setiap projek mengambil masa sehingga dua minggu untuk disiapkan kerana perlu tunggu giliran menggunakan komputer dan perisian tertentu,” jelasnya.
Seorang lagi pelajar jurusan sama, Nur Umairah Mohd Shuhada, 19, berkata penambahan komputer berprestasi tinggi mampu mengurangkan gangguan pembelajaran.
“Kalau komputer mencukupi dan spesifikasinya tinggi, kami tidak perlu menunggu lama dan bergilir-gilir dengan pelajar lain. Selain itu, aplikasi dengan perisian reka bentuk terkini yang boleh berfungsi dengan baik juga amat diperlukan,” ujarnya.






