SHAH ALAM, 7 NOV: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan berkompromi terhadap syarikat pengangkutan yang terus menggajikan pemandu warga asing tanpa lesen memandu sah.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Dato’ Muhammad Kifli Ma Hassan berkata perbuatan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang malah mengundang risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya lain.
"JPJ mengeluarkan 9,114 notis saman terhadap pemandu dan pemilik syarikat atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki lesen memandu dan lesen vokasional (GDL) yang sah.
"Tindakan lain turut diambil seperti pengeluaran notis temu siasat, arahan pemeriksaan kenderaan, serta sitaan di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya kenyataan di Facebook.
Tambahnya, jabatan itu akan terus mempergiat pemantauan bersama agensi penguat kuasa lain termasuk Jabatan Imigresen bagi membanteras sepenuhnya penggunaan pemandu warga asing tanpa lesen dalam sektor pengangkutan awam dan perdagangan.






