ad

Pemandu lori warga asing tiada lesen ibarat bom jangka, pengusaha perlu dihukum

7 Nov 2025, 9:20 AM
Pemandu lori warga asing tiada lesen ibarat bom jangka, pengusaha perlu dihukum

SHAH ALAM, 7 NOV: “Mereka ibarat bom jangka di jalan raya.”

Itu amaran tegas Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Tan Sri Lee Lam Thye terhadap pengusaha lori yang menggaji pemandu warga asing tanpa lesen bagi mengendalikan kenderaan berat.

Beliau menegaskan, tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah turut membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain semata-mata demi keuntungan cepat.

“Saya menyokong penuh tindakan tegas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menyita 25 lori sampah dipandu warga asing tanpa lesen sah di Selangor baru-baru ini.

“Mereka ini tiada lesen, tiada cukai jalan, tiada insurans, jelas sekali satu ancaman besar. Ini bukan isu kecil, ini bom jangka di jalan raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Tan Sri Lee Lam Thye .

Menurutnya, operasi bersepadu JPJ bersama Jabatan Imigresen menunjukkan komitmen serius pihak berkuasa dalam membanteras kegiatan pengusaha lori menggaji warga asing tanpa mematuhi peraturan.

“Sudah tiba masanya pengusaha-pengusaha lori yang bersikap cuai dan melanggar undang-undang ini diheret ke muka pengadilan. Hanya dengan cara ini keselamatan jalan raya dapat dijamin,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan memaklumkan sebanyak 5,915 kesalahan membabitkan pemandu lori warga asing direkodkan sejak Januari di Selangor.

Kesalahan itu termasuk memandu tanpa lesen sah, penyalahgunaan permit kerja, serta kegagalan memastikan kenderaan diselenggara dengan baik.

Dalam tempoh 10 hari terakhir operasi penguatkuasaan, sebanyak 25 lori sampah daripada syarikat sama disita selepas didapati menggunakan pemandu warga asing tanpa lesen, cukai jalan dan insurans.