ad

Selangor sambut baik pelaksanaan kaedah ‘co-teaching’ di sekolah

7 Nov 2025, 5:13 AM
Selangor sambut baik pelaksanaan kaedah ‘co-teaching’ di sekolah
Selangor sambut baik pelaksanaan kaedah ‘co-teaching’ di sekolah
Selangor sambut baik pelaksanaan kaedah ‘co-teaching’ di sekolah
Selangor sambut baik pelaksanaan kaedah ‘co-teaching’ di sekolah

SHAH ALAM, 7 NOV: Kerajaan Negeri menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan kaedah pengajaran berpasukan atau ‘co-teaching’ yang melibatkan dua guru dalam satu kelas, bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan mengurangkan beban tugas pendidik.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, berkata beliau berharap pendekatan itu dapat diuji terlebih dahulu bagi menilai impaknya terhadap guru dan murid.

“Saya harap ia dapat membantu guru dalam menangani dan berhadapan dengan kes tertentu di sekolah.

“Saya percaya kita berdepan pelbagai cabaran termasuk isu infrastruktur dan aspek lain yang memerlukan pendekatan baharu,” katanya yang juga menerajui portfolio pendidikan negeri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan ambulans percuma Kita Selangor di ruangan foyer pejabat pentadbiran negeri di sini, hari ini.

Bagaimanapun Amirudin berkata, pihaknya belum menerima maklum balas rasmi berhubung pelaksanaan inisiatif tersebut.

“Saya belum diberi maklum balas lagi, tetapi saya percaya pihak KPM sedang merangka semua kemungkinan untuk memastikan isu-isu berkaitan sekolah dapat ditangani dengan baik,” ujarnya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata kaedah 'co-teaching' dilaksanakan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) menjadi lebih menarik serta berkesan kerana ia memberi ruang guru menjadi lebih kreatif dan interaktif dalam melaksanakan PdP.

Beliau berkata, pendekatan itu antara pembaharuan utama dalam pelaksanaan kurikulum baharu bagi pelaksanaan pembelajaran bersepadu, iaitu gabungan pelbagai disiplin ilmu yang diajar secara gabung jalin.