SHAH ALAM, 7 NOV: Kerajaan Negeri melancarkan perkhidmatan ambulans percuma, Ambulans Kita Selangor bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40) di 26 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif berkenaan dapat menjimatkan kos antara RM250 hingga RM600 bagi keluarga yang sebelum ini terpaksa menggunakan perkhidmatan ambulans swasta.

“Perkhidmatan ini akan memberi manfaat besar kepada rakyat, terutama golongan B40 dengan pendapatan isi rumah bawah RM5,000.
“Mereka boleh menikmati perkhidmatan ambulans percuma satu atau dua hala dari rumah ke fasiliti kesihatan dan sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan perkhidmatan berkenaan di foyer pusat pentadbiran Kerajaan Negeri di sini, hari ini.
Amirudin menjelaskan, perkhidmatan tersebut meliputi kawasan di tiga daerah utama iaitu Petaling, Kuala Langat dan Kuala Selangor membabitkan lima pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurutnya, sebanyak 48 unit ambulans akan beroperasi sepanjang tempoh setahun bermula bulan ini hingga November tahun depan.
“Keutamaan akan diberikan kepada pesakit terlantar dan mereka yang memerlukan bantuan oksigen sepanjang perjalanan.
“Manakala pesakit lain yang memerlukan juga boleh menggunakan perkhidmatan tersebut tertakluk kepada ketersediaan,” ujarnya lagi.
Menurutnya, permohonan boleh dibuat melalui Pusat Khidmat Masyarakat di kawasan terlibat dan diselaraskan bersama St John Ambulans Malaysia (SJAM) Selangor selaku rakan pelaksana utama program itu.
Sebelum ini, Amirudin ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025 mengumumkan pelaksanaan perkhidmatan ambulans percuma tersebut dengan peruntukan RM1 juta melalui Tabung Selangor Bangkit.







