SABAK BERNAM, 6 NOV: Sebanyak 20 buah rumah di Parit 5, Pantai Sentosa, Sekinchan terjejas selepas berlaku kejadian ban pecah, pagi tadi.
Susulan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sabak Bernam mengaktifkan sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Seri Sekinchan bagi menempatkan tujuh keluarga yang terkesan.
Pengerusi JPBD Sabak Bernam, Ali Sadikin Sadin berkata, PPS tersebut mula beroperasi pada jam 8.00 malam bagi menempatkan mangsa yang sebelum ini berlindung sementara di Balai Raya Tuan Haji Norhasni, Parit 5.
“Semua agensi telah diarahkan untuk bersiap siaga dalam menghadapi situasi ini, termasuk menyediakan bantuan segera kepada mangsa yang terjejas serta melaksanakan pemantauan berterusan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terpelihara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Dato' Ng Suee Lim turun padang meninjau kawasan terjejas bersama Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor, Datuk Mohd Nazri Yasmin serta pasukan teknikalnya, petang tadi.
Tinjauan mereka mendapati keadaan terkawal, meskipun air pasang tinggi masih menyebabkan limpahan air ke parit besar berdekatan kawasan kebun penduduk.
Katanya, JPS Selangor mengambil langkah segera membaiki struktur ban yang pecah dengan kerja-kerja penutupan sementara dan pemasangan pam air berkapasiti tinggi bagi mengurangkan limpahan air laut ke kawasan pertanian dan perumahan.
“Langkah-langkah awal yang diusahakan oleh JPS, termasuk pemasangan pam air, berjaya mengurangkan limpahan air laut di lapangan dan menstabilkan paras air.
"Kita perlu peruntukan lebih untuk menangani kejadian ini dan perlu buat persiapan lebih awal. Perlu tinggikan semua ban ini,” katanya.
Penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan agar berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang risiko tidak diingini.
Orang awam boleh menghubungi Talian Penting Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di 019-333 3735 bagi melaporkan sebarang kejadian bencana di kawasan masing-masing.






