ad

Anwar puji usaha Selangor pacu industri semikonduktor

6 Nov 2025, 9:04 AM
Anwar puji usaha Selangor pacu industri semikonduktor

CYBERJAYA, 6 NOV: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji langkah proaktif dan keberkesanan kerajaan Negeri Selangor dalam mempercepat pembangunan ekosistem semikonduktor negeri itu.

Kemajuan yang dapat dilihat menerusi inisiatif seperti Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) Semikonduktor Malaysia 1 dan 2 — hasil kerjasama antara Putrajaya dan Selangor — mencerminkan keupayaan pelaksanaan yang kukuh serta komitmen tinggi negeri terhadap pertumbuhan industri negara.

“Perkembangan di Selangor amat membanggakan. Kadar pelaksanaan, kejayaan menarik pelabur, penyelidik dan peserta menunjukkan kita sedang bergerak ke arah yang meyakinkan.

“Sebab itu kini kita ada taman reka bentuk IC yang kedua, dan saya ucapkan tahniah kepada kerajaan Selangor, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) serta semua rakan kongsi yang terlibat,” katanya ketika merasmikan IC Design Park 2 di sini, hari ini.

Anwar menekankan keperluan Malaysia membina ekosistem semikonduktor yang kukuh dengan dasar jelas, infrastruktur mantap, kecemerlangan penyelidikan dan tenaga mahir agar negara mampu bersaing di peringkat global.

“Inilah caranya kita memastikan Malaysia bukan sekadar pengguna, tetapi pencipta teknologi,” ujarnya.

Perdana Menteri turut menegaskan kepentingan kerjasama antara agensi seperti Cyberview Sdn Bhd, Khazanah Nasional Bhd dan pelbagai kementerian bagi membuka peluang kepada belia tempatan menguasai bidang reka bentuk cip, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi termaju.

Perdana Menteri Dato’  Seri Anwar Ibrahim berucap di Majlis Peluncuran Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 pada 6 November 2025 di Coplace 9, Cyberjaya. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Beliau juga memberi jaminan kepada pelabur asing mengenai kesediaan Malaysia menyokong industri berteknologi tinggi.

“Bagi pihak pelabur, saya ingin nyatakan bahawa kita mampu menyediakan infrastruktur mencukupi seperti yang diperlukan. Anak muda kita memiliki keupayaan besar dan potensi mereka dalam bidang ini amat luar biasa,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama antara universiti dan pemain industri bagi memastikan sistem pendidikan kekal relevan dengan keperluan pasaran kerja.

Anwar turut mengulangi komitmen Malaysia mengekalkan hubungan seimbang dengan kuasa ekonomi utama dunia bagi memperluas peluang perdagangan dan pelaburan.

“Malaysia ialah negara perdagangan. Kita mesti memperluas rangkaian pelaburan dengan Amerika Syarikat, China, India serta rantau sedang membangun seperti Afrika dan Amerika Latin.

“Pendekatan seimbang ini membolehkan kita memperkukuh ekonomi sambil kekal terbuka dan berdaya saing,” jelas beliau.

Dalam ucapannya juga, Anwar menegaskan kepentingan memiliki kerajaan yang stabil, dasar yang jelas serta pentadbiran yang cekap.

“Kita perlu meninggalkan budaya lama yang selesa dan memastikan setiap perancangan dilaksana dengan cepat serta berkesan,” katanya.

IC Design Park 2 yang terletak di CoPlace 9 menempatkan Pusat Ujian Cip Termaju serta kemudahan latihan di bawah Akademi Semikonduktor Malaysia (Asem).