ad

Kanak-kanak terselamat cubaan bunuh oleh ibu masih trauma, dipantau JKM

6 Nov 2025, 4:57 AM
Kanak-kanak terselamat cubaan bunuh oleh ibu masih trauma, dipantau JKM

SHAH ALAM, 6 NOV: Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang terselamat ketika cuba dicederakan ibunya dalam rumah mereka di Taman Perak, di Kulim, Kedah kelmarin masih trauma dengan kejadian berkenaan.

Dalam kejadian jam 11.05 malam itu, mangsa terselamat selepas ikatan kain terlepas, namun ibunya ditemui tergantung.

Adik perempuan mangsa berusia empat tahun pula ditemukan meninggal dunia di atas tilam dalam sebuah bilik di rumah berkenaan dipercayai dibunuh ibunya sebelum itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Perpaduan Kedah, Datuk Halimaton Shaadiah Saad berkata Pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah mendapatkan maklumat berkenaan waris kanak-kanak terbabit, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, mereka berjaya mengesan bapa kandung kanak-kanak itu yang kemudian mengesahkan anaknya kini trauma dan masih menerima rawatan di Hospital Kulim.

Beliau berkata, bapa kandung menyatakan kesediaan dirinya dan keluarga untuk menjaga kanak-kanak selepas dibenarkan keluar dari hospital kelak.

"Berdasarkan laporan perubatan, kecederaan kanak-kanak itu adalah pada bahagian leher akibat kesan jerutan pada hari kejadian.

"Pelindung JKM akan melakukan lawatan dan siasatan di rumah bapa kandung untuk pemantauan selepas kanak-kanak itu dibenarkan keluar dari hospital," katanya.

Media semalam melaporkan, seorang wanita dan anak perempuannya yang berusia empat tahun ditemukan mati dalam sebuah rumah di Taman Perak, di sini.

Polis mengesahkan kejadian itu sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.