ad

Selangor ketengah kampung baru sebagai destinasi pelancongan warisan - MB

6 Nov 2025, 12:30 AM
Selangor ketengah kampung baru sebagai destinasi pelancongan warisan - MB
Selangor ketengah kampung baru sebagai destinasi pelancongan warisan - MB
Selangor ketengah kampung baru sebagai destinasi pelancongan warisan - MB

KLANG, 6 NOV: Keunikan tradisi kampung baru Cina di Selangor mampu diketengahkan sebagai lokasi tarikan pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kampung baru memiliki nilai sejarah dan keistimewaan tersendiri yang boleh dipromosikan sebagai destinasi warisan serta lokasi makanan tradisional menarik.

“Saya rasa kita akan dapat capai sasaran lapan juta pelancong sempena Tahun Melawat Selangor dan tahun depan kita akan sambung lagi dengan Tahun Melawat Malaysia.

“Ini merupakan peluang kita kerana pelancong turun di (lapangan terbang) Sepang. Salah satu tarikan itu adalah kewujudan kampung baru yang mengekalkan tradisinya dan mampu terus berdiri dalam arus kemodenan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Kampung Baru Terbaik Selangor 2025 di sebuah hotel di sini malam tadi, yang turut dihadiri EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim.

Amirudin menegaskan Selangor mahu terus dikenali sebagai negeri moden tanpa meninggalkan warisan, nilai budaya dan sejarah yang membentuk identiti rakyatnya.

“Selangor sebuah negeri moden tetapi tetap berakar pada nilai dan warisan. Kampung tradisi atau kampung baru yang baik ialah kampung yang sedia berinteraksi dan berkomunikasi dengan komuniti lain.

“Inilah nilai dan ciri yang membawa kejayaan kepada Selangor,” katanya sambil mengingatkan agar semua pihak menolak semangat ekstrem perkauman yang tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Dalam majlis itu, Kampung Bagan Pulau Ketam dinobat sebagai pemenang Anugerah Kampung Baru Terbaik Selangor 2025, diikuti Kampung Sekinchan Site C dan Kampung Baru Seri Setia, Sungai Way.

Pemenang menerima wang tunai RM3,000, RM2,000 dan RM1,500 masing-masing bersama trofi serta sijil penghargaan. Turut dipertandingkan kategori khas merangkumi Inovasi, Teknologi dan Kampung Terbersih.