SABAK BERNAM, 10 NOV: Pembangunan pelancongan desa di Sungai Besar bukan sahaja merancakkan ekonomi tempatan, tetapi turut melestarikan warisan dan jati diri masyarakat luar bandar Selangor.
Kawasan utara negeri itu kini menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara yang ingin merasai kehidupan kampung, keindahan sawah padi serta aktiviti budaya masyarakat setempat.
Pelancong dari Indonesia Dinar Nurafni, 45, berkata pengalaman menyertai aktiviti seperti memcanting batik, menaiki beca dan motosikal empat roda (ATV) di kawasan sawah memberi kelainan berbanding tempat lain.

“Saya datang bukan hanya untuk bersantai, tetapi mahu alami sendiri kehidupan kampung. Selangor mudah diakses dan masih mengekalkan tradisinya," katanya ketika ditemui di rumah inap Annaz Cottage di Parit 4 Tambahan, Sungai Besar.
Pelancong dari Medan, Lenor, 52, menyifatkan Selangor sebagai negeri eksotik kerana berjaya menyeimbangkan kemajuan dengan pemeliharaan budaya dan warisan desa.
"Selangor moden tetapi masih kekalkan tradisi dan jati diri. Suasana kampungnya tenang, indah dan asli," ujarnya.

Pengalaman seperti mencanting batik dan menganyam mengkuang sememangnya meninggalkan kenangan manis buat mereka, malah aktiviti berasaskan warisan itu menjadi antara daya tarikan istimewa yang mencerminkan keunikan kehidupan masyarakat desa di kawasan berkenaan.
Warisan budaya seumpama itu bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung mencuba kemahiran tradisional masyarakat tempatan, tetapi turut menyemai penghargaan terhadap seni dan budaya Melayu yang masih dipelihara hingga kini.

“Saya pertama kali mencuba mencanting batik...seronok sekali! Hasilnya pun cantik. Menaiki beca sambil menikmati suasana kampung dan hamparan sawah padi menyamankan," kata Dinar yang berasal dari Jogjakarta.
Bagi Lenor pula, pengalaman itu dianggap sangat berharga kerana membuka ruang untuk melihat sendiri keindahan seni tangan masyarakat tempatan.
"Saya suka kerana ini pengalaman baharu. Di kota, semua serba moden dan jarang kita lihat kerja tangan begini. Melihat topi terendak mengkuang daripada mengkuang dianyam dengan begitu teliti, saya benar-benar kagum," katanya yang kerap ke Malaysia untuk bercuti.








