KUALA LUMPUR, 11 NOV: Jaringan pengangkutan di negeri ini akan diperluas lebih menyeluruh termasuk memastikan keselamatan para penggunanya terutama pejalan kaki.
EXCO mobiliti berkata pentadbiran negeri bukan sekadar menyediakan kemudahan seperti Bas Smart Selangor dan van transit atas permintaan (DRT) sebaliknya turut menumpukan keterhubungan di kawasan komersial.
“Saya harap terima peruntukan mencukupi. Bukan hanya sekadar membekalkan perkhidmatan bas, DRT tetapi menyedia lebih banyak lagi laluan kerana inisiatif ini mendapat sambutan menggalakkan.
“Kita mahu bina jaringan lebih besar. Contohnya boleh menghubungkan setiap lokasi. Pejalan kaki juga diutamakan dan akan tingkatkan keselamatan mereka. Harap peruntukan tahun depan mampu bangunkan sektor mobiliti,” kata Ng Sze Han.
Tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntuk sejumlah RM20 juta bagi mengoptimum perkhidmatan Bas Smart Selangor dan van DRT termasuk inisiatif menambah zon baharu dan konsep pelaksanaan lebih meluas.
Belanjawan Selangor 2026 akan dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 14 November ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Minggu lalu, beliau berkata belanjawan tahun depan akan memberi keutamaan kepada pelaksanaan program baharu berteraskan pendidikan dan pembasmian kemiskinan bagi memastikan rakyat terus maju seiring pembangunan negeri.
Belanjawan Selangor 2026 juga dirangka dengan pendekatan menyeluruh yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kebajikan rakyat.




