ad

SUKMA 2026: Selangor tekad jadi juara dan penganjur terbaik

5 Nov 2025, 12:08 PM
SUKMA 2026: Selangor tekad jadi juara dan penganjur terbaik

SHAH ALAM, 5 NOV: Selangor bersedia menjadi tuan rumah terbaik bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-26 yang bakal berlangsung tahun depan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Izuan Kasim, berkata Kerajaan Negeri bukan sahaja komited dalam aspek penganjuran, tetapi turut berharap SUKMA kali ini memberi impak positif kepada ekonomi tempatan termasuk kelab sukan dan atlet negeri.

“Selangor mengalu-alukan peranan sebagai tuan rumah dan bersedia muncul juara.

"Saya percaya dengan persediaan rapi yang dijalankan oleh EXCO sejak 2025, SUKMA 2026 akan menjadi antara penganjuran terbaik di Malaysia,” katanya menerusi rakaman video.

SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, diikuti Para SUKMA dari 5 hingga 14 September. Upacara perasmian akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) manakala penutup di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Edisi kali ini menyaksikan 474 acara dalam 37 sukan dipertandingkan, termasuk 30 sukan teras seperti ragbi serta tujuh sukan tambahan antaranya e-sukan, kriket dan silambam.

Sembilan daerah dan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri menjadi tuan rumah, kecuali acara berbasikal trek yang dijalankan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.