SHAH ALAM, 5 NOV: Dasar dan inisiatif dilaksanakan pentadbiran negeri ini menumpukan prinsip matlamat pembangunan mampan (SDG) bagi memastikan kemajuan ekonomi seiring dengan kelestarian dan kesejahteraan rakyat.
Dato’ Menteri Besar berkata antara usaha dilakukan seperti Pelan Tindakan Iklim Negeri Selangor, Rancangan Selangor Pertama (RS-1), Dasar Smart Selangor selain pembangunan hijau dan digitalisasi.
“Selangor kekal komited menerajui pembangunan mampan selaras dengan prinsip SDG bagi memastikan kemajuan ekonomi tidak mengorbankan kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat.
“Dengan sokongan padu Kerajaan Persekutuan dan kerjasama antara agensi, Selangor akan terus menjadi pemacu utama pembangunan mampan Malaysia,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.
Terdahulu beliau menghadiri Mesyuarat Majlis SDG Negara Tahun 2025, dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya hari ini.
Mesyuarat bertujuan menilai kemajuan pelaksanaan SDG di peringkat nasional dan antarabangsa termasuk peranan negeri dalam menjayakan Agenda 2030.
November tahun lalu, Amirudin berkata Selangor mencipta sejarah menjadi negeri pertama di Malaysia menyerahkan laporan SDG kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau berkata Voluntary Sub-National Review (VSR) atau laporan projek SDG disediakan PLANMalaysia Selangor pada 2022 dan diserahkan setahun selepas itu selain enam pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri turut menyerahkan Voluntary Local Review (VLR) masing-masing.
PBT terlibat ialah Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Bandar Diraja Klang, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor.





