ad

Malaysia tuan rumah Kejohanan Petanque Asia 2025, saingan bermula esok

5 Nov 2025, 8:04 AM
Malaysia tuan rumah Kejohanan Petanque Asia 2025, saingan bermula esok

SHAH ALAM, 5 NOV: Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan sukan petanque benua Asia apabila dipilih sebagai tuan rumah Kejohanan Petanque Asia 2025 yang membuka tirainya esok hingga Ahad ini di Arena Petanque Kuala Lumpur, Cheras.

Edisi keenam kejohanan anjuran Konfederasi Sukan Boules Asia itu menghimpunkan 141 peserta dari 15 negara, menjadikan Malaysia antara pusat penting pembangunan sukan berkenaan di rantau ini.

Pemangku Presiden Persekutuan Sukan Boules Malaysia Cheah Ban Cheng berkata peluang menganjurkan kejohanan berprestij itu buat kali ketiga merupakan pengiktirafan besar terhadap keupayaan Malaysia.

“Ia satu penghormatan yang cukup besar buat Malaysia kerana sekali lagi diberikan kepercayaan untuk menganjurkan kejohanan penting di peringkat benua ini.

“Kami sentiasa bersedia menjadi tuan rumah dan berbangga menganjurkan acara yang mencerminkan tahap persaingan tertinggi. Saingan kali ini pasti lebih menarik,” katanya seperti dilapor Kosmo! Online.

Dua acara akan dipertandingkan iaitu precision shooting dan triples melibatkan kategori lelaki, wanita serta remaja.

Tumpuan dijangka terarah kepada atlet negara Muhammad Hafizuddin Mat Daud yang sebelum ini meraih pingat gangsa pada Kejohanan Dunia di Rom, Itali pada September lalu.

“Pasukan negara kini membina momentum yang mantap di pentas dunia dan kejohanan ini menjadi medan terbaik sebelum beraksi di Sukan SEA Thailand,” ujar Ban Cheng lagi.

Keputusan menamakan Malaysia sebagai tuan rumah dibuat selepas beberapa negara peserta menyuarakan kebimbangan terhadap aspek keselamatan dan urusan perjalanan ke Iran, lokasi asal penganjuran, sekali gus membawa kepada pemindahan ke Kuala Lumpur.

Kejohanan itu turut menjadi pentas penting bagi pasukan-pasukan Asia Tenggara termasuk Malaysia sebagai persediaan menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand pada Disember depan.