SHAH ALAM, 5 NOV: Malaysia mencatat kemajuan menggalakkan dalam pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dengan unjuran pencapaian 49 peratus menjelang 2030, jauh mengatasi purata global 18 peratus.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkembangan positif itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Majlis SDG Negara Tahun 2025 yang dipengerusikan beliau pagi tadi.
Namun, beliau menegaskan masih banyak cabaran yang perlu diberi perhatian khususnya melibatkan 10 Fokus Utama SDG negara, termasuk isu malpemakanan kanak-kanak, kesihatan mental, pengurusan murid berkeperluan khas serta peluang pekerjaan untuk golongan kurang upaya (OKU).
“Usaha ini menuntut kerjasama menyeluruh merentasi kerajaan persekutuan dan negeri, sektor swasta serta masyarakat sivil agar tiada insan yang tersisih daripada arus pembangunan negara,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Anwar menegaskan, kerajaan Madani kekal komited terhadap pelaksanaan agenda SDG yang selari dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Kita menuju ke arah kemajuan yang terangkum, mampan dan sejahtera demi masa depan anak-anak serta bumi yang kita cintai,” ujarnya.





