SHAH ALAM, 6 NOV: Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua, Datuk Wira Johan Abdul Aziz berharap Belanjawan Selangor 2026 memberi tumpuan untuk mempercepat pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di kawasan tersebut.
Beliau berkata, kawasan Sungai Langat yang meliputi Pansun, Sungai Lui dan Sungai Sering Batu 10 antara lokasi yang sering dilanda banjir setiap tahun, justeru pelaksanaan RTB amat dinantikan penduduk.
“Saya difahamkan projek RTB masih di peringkat semakan agensi. Penduduk sudah lama menunggu pelaksanaannya.
“Saya juga berharap Kerajaan Negeri dapat memperuntuk dana bagi menaik taraf sistem perparitan kerana ia memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko banjir,” katanya kepada Media Selangor.
Selain isu banjir, Johan turut menggesa Kerajaan Negeri menambah baik capaian internet di kawasan tumpuan pelancongan dalam DUN itu.
“Liputan internet di Sungai Lui, Pansun dan Sungai Semungkis masih lemah berbanding kawasan lain sedangkan ia menjadi destinasi riadah popular pada hujung minggu.
“Kerajaan juga disaran menambah baik jaringan jalan di lebih 20 kampung tradisi memandangkan populasi penduduk yang tinggi serta bagi menjamin keselamatan pengguna,” katanya.
Belanjawan Selangor 2026 dijadual dibentangkan pada 14 November ini di Dewan Negeri Selangor.





