SHAH ALAM, 5 NOV: Kumpulan EX7 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjaya meraih Anugerah Emas (Gold Award) menerusi inovasi Integrated Report and Information System (Iris) di International Convention on Quality Control Circle (ICQCC) 2025 yang berlangsung di Taipei International Convention Centre (TICC), Taiwan.
Pengiktirafan itu menjadi bukti komitmen MBSA memperkukuh budaya inovasi dan meningkatkan kecekapan tadbir urus digital, seiring aspirasi menjadikan Shah Alam sebagai Bandar Raya Pintar, Mampan dan Berdaya Saing.
Menurut kenyataan MBSA di Facebook, pencapaian tersebut mencerminkan usaha berterusan warga kerja MBSA mencari pendekatan baharu bagi mempertingkat kualiti perkhidmatan serta sistem pengurusan dalaman.
“Iris bukan sekadar inovasi teknologi, tetapi langkah penting dalam memperkukuh tadbir urus digital selaras dengan visi Smart City Shah Alam,” menurut kenyataan itu.
Kumpulan EX7 membangunkan projek inovasi IRIS bagi mempertingkat sistem pelaporan dan pemantauan dalaman ke arah pentadbiran yang lebih cekap, pantas dan telus.
Konvensyen antarabangsa edisi ke-50 itu disertai ahli kumpulan EX7 terdiri daripada Wan Suraya Sahabaludin, Sahrulazri Sarni, Hairuddin Saidan, Azlan Suhimi, Iskandar Mansor, Shamsulkamar Amat, Ilyas Md Johari, Hasanul Asraf Rohman, Najhan Pata Sairi dan Syed Zarif Irzat Syed Sazly.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Pengarah Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Mohd Fauzi Aziz Maamor bersama urusetia dari Seksyen Kualiti dan Strategik MBSA.
Kejayaan itu sekali lagi mengangkat nama Shah Alam di peringkat antarabangsa sebagai peneraju inovasi pentadbiran kerajaan tempatan yang berorientasikan kecemerlangan dan kemajuan.






