ad

Kematian pempengaruh Taiwan: Namewee serah diri, polis mohon reman

5 Nov 2025, 2:19 AM
Kematian pempengaruh Taiwan: Namewee serah diri, polis mohon reman

SHAH ALAM, 5 NOV: Polis memohon reman terhadap pengarah filem dan penyanyi, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, 42, bagi membantu siasatan kes kematian pempengaruh wanita warga Taiwan di Kuala Lumpur, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam mengesahkan Namewee akan direman pagi ini, selepas menyerah diri malam tadi.

"Untuk makluman Namewee akan direman pagi ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Namewee menyerah diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi malam tadi.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata pihaknya sedang mengesan Namewee, yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes kematian seorang pempengaruh wanita warga Taiwan di sebuah hotel mewah di ibu negara.

Suspek berusia 42 tahun itu dipercayai menghilangkan diri selepas penemuan mayat Hsien Yun Hsin, 31, di sebuah bilik Hotel Banyan Tree, Jalan Conlay pada jam 1.40 tengah hari, 22 Oktober lalu.

Fadil berkata kes berkenaan pada awalnya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR), namun ditukar kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membabitkan unsur bunuh.