SHAH ALAM, 5 NOV: Polis sedang mengesan penyanyi rap sensasi tempatan, Wee Meng Chee atau Namewee, yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes kematian seorang pempengaruh wanita warga Taiwan di sebuah hotel mewah di ibu negara bulan lalu.
Suspek berusia 42 tahun itu dipercayai menghilangkan diri selepas penemuan mayat Hsien Yun Hsin, 31, di sebuah bilik Hotel Banyan Tree, Jalan Conlay pada jam 1.40 tengah hari, 22 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata kes berkenaan pada awalnya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR), namun ditukar kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membabitkan unsur bunuh.
Menurut beliau, pihaknya percaya Namewee menyedari perkembangan siasatan tersebut selepas laporan mengenainya tersebar luas di media rasmi dan media sosial.
"Setakat ini kami masih tidak dapat lagi mengesannya dan percaya dia sudah menghilangkan diri.
"Sebelum ini, kes kematian wanita berkenaan diklasifikasikan sebagai SDR, namun apabila diklasifikasikan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dia dipercayai menghilangkan diri," katanya seperti dilapor BH.
Untuk rekod, kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori dan memberi kuasa kepada polis untuk menahan mana-mana individu yang disyaki terlibat.
Siasatan awal mendapati, Namewee dipercayai individu terakhir bersama Yun Hsin sebelum wanita itu ditemui tidak bernyawa di bilik hotel berkenaan.




