ad

MPKj ambil tindakan terhadap kilang tidak berlesen di Bukit Dukung

4 Nov 2025, 5:42 AM
MPKj ambil tindakan terhadap kilang tidak berlesen di Bukit Dukung

SHAH ALAM, 4 NOV: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sudah mengambil tindakan susulan terhadap beberapa kilang yang dipercayai beroperasi secara haram di Kampung Bukit Dukung, Kajang.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang David Cheong berkata kilang terbabit dibina di atas tanah yang dizonkan untuk komersial berdasarkan Rancangan Tempatan MPKj (Pengubahan 1) 2035.

“Saya sudah bawa kes ini kepada MPKj dan mereka sudah turun dan beri notis. Kilang itu sudah puluhan tahun beroperasi tapi mereka beroperasi dalam zon perancangan, di bawah komersial.

“Cuma mereka perlu tukar syarat dan dapatkan kelulusan daripada MPKj. Itu sahaja,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Menurut David, penduduk mula membuat aduan selepas tapak di lokasi tersebut disewakan kepada sebuah syarikat kontraktor untuk digunakan sebagai tempat penyimpanan barangan pembinaan.

Jelasnya, penduduk mula tidak selesa berikutan lori keluar masuk yang membahayakan penduduk, selain mengakibatkan banjir kilat di kampung berkenaan.

“Sebelum ini kita tidak terima aduan penduduk, tetapi selepas tapak itu disewakan untuk letak barang pembinaan, penduduk mula rasa tidak selesa sebab lori keluar masuk dan ada berlaku banjir kilat juga,” katanya.

Media tempatan sebelum ini melaporkan kewujudan beberapa kilang haram di Kampung Bukit Dukung, yang menyebabkan penduduk mengalami pelbagai masalah termasuk bunyi bising, longkang tersumbat, jalan rosak serta keretakan rumah.