ad

Global Sumud Flotilla tarik penyertaan 20,000 rakyat Malaysia selepas misi ke Gaza

4 Nov 2025, 1:36 AM
Global Sumud Flotilla tarik penyertaan 20,000 rakyat Malaysia selepas misi ke Gaza
Global Sumud Flotilla tarik penyertaan 20,000 rakyat Malaysia selepas misi ke Gaza
Global Sumud Flotilla tarik penyertaan 20,000 rakyat Malaysia selepas misi ke Gaza
Global Sumud Flotilla tarik penyertaan 20,000 rakyat Malaysia selepas misi ke Gaza

SHAH ALAM, 4 NOV: Sambutan rakyat Malaysia terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) melonjak mendadak kepada 20,000 pendaftaran selepas misi itu digagalkan rejim Israel bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nadir Al-Nuri berkata peningkatan ketara itu berlaku selepas hanya 600 rakyat Malaysia mendaftar sebelum pelayaran dimulakan.

“Sebelum misi kira-kira 600 orang rakyat Malaysia daftar untuk ikut GSF melalui laman webnya.

“Namun selepas misi tamat, 20,000 lagi mendaftar. Break the silence Malaysia: accomplished,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau semalam.

Nadir Al-Nuri yang juga ahli jawatankuasa Global Sumud Flotilla di Barcelona, Sepanyol pada 28 Ogos 2025, beberapa hari sebelum belayar ke Gaza.

Peningkatan itu dilihat sebagai isyarat jelas kebangkitan solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin, khususnya di Gaza.

Misi GSF sebelum ini bertujuan menyampaikan bantuan kemanusiaan terus ke Gaza dengan disertai 495 aktivis dari seluruh dunia termasuk 23 rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, rejim Israel memintas kesemua 42 kapal flotila tersebut pada 2 Oktober lalu sebelum menahan semua peserta termasuk warganegara Malaysia.

Semua tahanan Malaysia dibebaskan secara berperingkat bermula 4 Oktober dan selamat pulang ke tanah air.

GSF dilihat sebagai antara inisiatif global paling besar dalam usaha mencabar sekatan Israel ke atas Gaza sejak serangan berterusan rejim itu bermula.

Peningkatan pendaftaran rakyat Malaysia selepas insiden berkenaan menunjukkan rakyat negara ini semakin prihatin terhadap isu kemanusiaan sejagat.

CGM aktif menganjurkan kempen kesedaran dan pengumpulan dana bagi membantu penduduk Gaza yang berdepan sekatan serta serangan berterusan.