SHAH ALAM, 3 NOV: Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan siasatan menyeluruh perlu dijalankan berhubung kematian seorang murid tahun empat di sebuah sekolah di Negeri Sembilan bagi memastikan keadilan ditegakkan.
Dalam kenyataannya hari ini, KPM berkata pihaknya mengambil maklum dan meneliti kenyataan keluarga mangsa berhubung insiden berkenaan yang tular di media sosial.
“Ketika ini, siasatan masih dijalankan oleh pihak polis. Tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah. Keadilan perlu ditegakkan untuk keluarga Allahyarham,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, murid lelaki berusia 10 tahun berkenaan ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas sekolahnya di Senawang, Negeri Sembilan pada 1 Oktober lalu sebelum disahkan meninggal dunia.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian berpunca daripada tekanan pada leher dan tiada sebarang kecederaan lain dikesan pada tubuh mangsa.
Pihak berkuasa masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut.




