ad

Prasarana nafi tren Laluan Ampang terbakar, video tular disahkan palsu

3 Nov 2025, 12:43 PM
Prasarana nafi tren Laluan Ampang terbakar, video tular disahkan palsu

SHAH ALAM, 3 NOV: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menafikan dakwaan kononnya berlaku kebakaran membabitkan tren Laluan Ampang, seperti dipaparkan dalam satu video tular di media sosial.

Dalam kenyataannya hari ini, syarikat pengendali sistem Rapid KL itu menegaskan video sepanjang 26 saat berkenaan tidak benar dan tiada sebarang kejadian kebakaran dilaporkan berlaku di mana-mana fasiliti kendaliannya.

“Semakan dalaman serta pengesahan pasukan operasi mendapati semua perkhidmatan tren beroperasi seperti biasa tanpa gangguan,” kata Prasarana.

Menurut syarikat itu, penyebaran maklumat palsu seperti tersebut boleh menimbulkan kebimbangan awam dan menjejaskan reputasi sistem pengangkutan awam negara.

“Prasarana tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu atau menimbulkan kekeliruan,” katanya.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai kandungan tular dan hanya mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi Rapid KL.

Video yang tersebar sejak semalam itu memaparkan gerabak tren seolah-olah terbakar, namun hasil semakan mendapati ia dijana menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menampakkan kejadian tidak wujud itu.