ad

9.03 juta kanak-kanak di Malaysia, Selangor paling ramai – DOSM

3 Nov 2025, 8:55 AM
9.03 juta kanak-kanak di Malaysia, Selangor paling ramai – DOSM
9.03 juta kanak-kanak di Malaysia, Selangor paling ramai – DOSM
9.03 juta kanak-kanak di Malaysia, Selangor paling ramai – DOSM
9.03 juta kanak-kanak di Malaysia, Selangor paling ramai – DOSM

SHAH ALAM, 3 NOV: Malaysia kini merekodkan seramai 9.03 juta kanak-kanak berumur bawah 18 tahun, bersamaan 26.4 peratus daripada jumlah penduduk seramai 34.23 juta, menurut Statistik Kanak-Kanak 2025 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata daripada jumlah itu, 4.66 juta ialah kanak-kanak lelaki manakala 4.37 juta perempuan, dengan 2.31 juta daripadanya berusia di bawah lima tahun.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. Foto BERNAMA

“Putrajaya mencatatkan peratusan tertinggi kanak-kanak bawah 18 tahun iaitu 39.9 peratus, diikuti Kelantan (33.5) dan Terengganu (32.9).

"Selangor pula merekodkan jumlah tertinggi iaitu 1.81 juta kanak-kanak, manakala Labuan paling rendah dengan hanya 0.03 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dari segi kesihatan, liputan imunisasi bayi mencatatkan penurunan pada 2024 bagi kesemua lima jenis imunisasi utama iaitu Polio, Difteria, Pertusis (batuk kokol), Tetanus (DTP), Haemofilus Influenza Type B (HIB) serta Hepatitis B dengan masing-masing susut sebanyak 6.1 mata peratus, manakala BCG menurun 0.3 mata peratus.

Jumlah Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) berdaftar meningkat 1.4 peratus kepada 3,198 buah pada 2024 dengan Johor mencatat pertumbuhan tertinggi (29.4 peratus) manakala Putrajaya mengalami penurunan terbesar (21.0 peratus).

Bagaimanapun, pendaftaran murid di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan menurun 0.2 peratus, termasuk penurunan 3 peratus di peringkat menengah atas.

Sekolah swasta turut mencatat kemerosotan 0.3 peratus, terutamanya disebabkan penurunan 3.4 peratus dalam pendaftaran prasekolah.

Bilangan kanak-kanak memerlukan penjagaan dan perlindungan meningkat 12.7 peratus kepada 9,624 kes pada 2024.

Daripada jumlah itu, kanak-kanak perempuan mencatat 6,031 kes, manakala kanak-kanak lelaki meningkat ketara sebanyak 15.2 peratus, berbanding 11.3 peratus bagi perempuan.

Sementara itu, jumlah kanak-kanak terlibat dalam jenayah menurun 4.2 peratus kepada 2,627 kes.

“Kanak-kanak Bumiputera membentuk kumpulan majoriti iaitu 82.2 peratus, diikuti Cina (9.0 peratus), India (4.9) dan lain-lain (4.1),” katanya.