ad

Ibu dan bapa mentua pempengaruh antara empat ditahan kes perselisihan faham

3 Nov 2025, 5:05 AM
Ibu dan bapa mentua pempengaruh antara empat ditahan kes perselisihan faham

SHAH ALAM, 3 NOV: Empat individu termasuk ibu dan bapa mentua kepada seorang pempengaruh ditahan berhubung kes perselisihan faham di kawasan perumahan Taman Bertih Laut, Teluk Pulai dekat Klang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintenden Kamalariffin Aman Shah berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat pempengaruh berusia 33 tahun yang mendakwa kejadian berlaku pada jam 2.40 petang, semalam.

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 324 dan 427 Kanun Keseksaan.

"Susulan itu, tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 22 hingga 59 tahun ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pegawai penyiasat kini dalam proses melengkapkan siasatan sebelum dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-3376 2222 bagi membantu siasatan," katanya.

Terdahulu, pempengaruh dan usahawan Prince Syed, atau nama sebenarnya Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman, 33, membuat laporan di Balai Polis Klang petang semalam berhubung dakwaan diserang dan dipukul hingga cedera di tangan dan wajah.

Dalam kejadian itu, empat individu dikenalinya didakwa menyerang Prince Syed ketika berada di hadapan rumah kakaknya di Taman Bertih Laut, Teluk Pulai.

Sebelum kejadian, tular di media sosial sebuah video memaparkan seorang wanita dipercayai ibu mentua pempengaruh itu datang ke sebuah rumah sambil mendakwa menantunya itu melarikan dan menghalang anak serta cucunya daripada berjumpa dengannya.

Dalam video sama, wanita berkenaan turut mendakwa Prince Syed berkahwin dengan anaknya untuk dijadikan sebagai “tikus makmal” dengan memaksa menjalani pembedahan bariatrik bagi tujuan mempromosikan produk pelangsingan badan.