ad

Bekas pemain bola sepak ditahan kes tembakan di Golok

3 Nov 2025, 1:47 AM
Bekas pemain bola sepak ditahan kes tembakan di Golok

SHAH ALAM, 3 NOV: Suspek utama dalam kes tembakan maut melibatkan seorang rakyat Malaysia di Golok, Thailand ditahan oleh polis Thailand.

Memetik laporan NST, lelaki berusia lingkungan 30-an yang juga bekas pemain bola sepak itu ditahan selepas menyerah diri di sebuah balai polis di Sungai Golok.

Semalam media melaporkan, rakyat Malaysia yang juga peniaga beg dan batu permata maut selepas dipercaya ditembak 18 das tembakan oleh dua individu dikenali di rumahnya di Golok, Thailand.

Mangsa, Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 35, yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Golok jam 9 malam.

Wan Fatihah Mat Husin, 35, yang sarat mengandung mendakwa, suaminya terkena 18 das tembakan selepas pemeriksaan dibuat di hospital dan kejadian itu didalangi dua individu.

Menceritakan kejadian tragik itu, beliau berkata, ketika kejadian dia dan suami sedang memasang kamera litar tertutup (CCTV) sebelum didatangi dua individu dan melepaskan tembakan ke arah suami dari arah belakang.

"Sebaik terkena beberapa das tembakan, suami terus rebah dan saya memeluknya dalam keadaan berlumuran darah.

"Namun pembunuh masih melepaskan tembakan sehinggalah peluru habis, barulah mereka melarikan diri dengan kereta.

"Akibat kejadian itu, suami mengalami kecederaan parah dan peluru mengenai leher, badan dan dada," katanya.