SHAH ALAM, 2 NOV: Kanak-kanak yang terdedah dan kerap bermain permainan video berunsur ganas berisiko mengalami gangguan kesihatan mental jika tidak dipantau ibu bapa.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata cabaran dunia digital menyebabkan kanak-kanak terdedah kepada pelbagai pengaruh dalam talian, termasuk permainan yang boleh menjejaskan kestabilan emosi serta perkembangan mental, lapor Harian Metro.
"Setiap individu tanpa mengira usia boleh mengalami masalah kesihatan mental, namun kumpulan rentan seperti kanak-kanak perlu diberikan perhatian dan empati oleh masyarakat.
"Justeru, mereka yang berdepan masalah ini tidak harus dipandang serong, sebaliknya perlu dibantu dan diberi ruang untuk mendapatkan rawatan sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Rahmah Mesra Santuni MADANI di Pantai Jeram, Kuala Selangor hari ini.
Beliau berkata setiap daripada manusia normal boleh terdedah kepada cabaran kesihatan mental apabila emosi menurun atau tekanan meningkat, sama ada dalam bentuk keresahan atau kemurungan.
Sehubungan dengan itu, Dzulkefly berkata pihaknya telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani isu berkenaan termasuk talian Hotline 15555 serta Program K-Mindset bagi memperkasakan pemimpin masyarakat untuk mendekati individu berisiko.
"Melalui K-Mindset, kerajaan telah memperuntukkan RM21.6 juta bagi melatih ketua kampung, penghulu serta tokoh agama agar mereka dapat memainkan peranan dalam menjaga kesihatan mental masyarakat di kawasan masing-masing," katanya.
Terdahulu, Dzulkefly merasmikan Program Ramah Mesra Santuni MADANI dan Karnival Paru-Paru & Minda Sihat 2025, antara inisiatif mendukung usaha Kementerian Kesihatan (KKM) dalam pelaksanaan Inisiatif Kesihatan Paru-Paru (LHI) yang merupakan suatu gerakan nasional di bawah kementerian.
Inisiatif itu bertujuan memperluas akses saringan, rawatan awal dan advokasi kesedaran berhubung penyakit paru-paru termasuk penyakit paru-pari obstruktif kronik (COPD), asma, kanser paru-paru serta bahaya rokok elektronik atau vape.
LHI kini diperluas di seluruh negara dengan kerjasama strategik pelbagai pihak meliputi awam, swasta dan komuniti setempat.




