KLANG, 16 OKT: Siasatan awal mendapati tindakan suspek yang menikam pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya Selasa lalu mungkin didorong pengaruh permainan video dan kandungan media sosial tertentu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya kini sedang mengenal pasti platform terlibat.
Mengenai keputusan bedah siasat, beliau mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat tikaman pada bahagian leher dan badan.
Katanya, bagaimanapun laporan patologi dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan.
“Kami sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM), khususnya pakar patologi bagi mempercepatkan proses tersebut,” katanya.
Beliau menambah, polis juga bekerjasama rapat dengan pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan bagi memperkukuh keselamatan di sekolah.
Ditanya mengenai kemungkinan penglibatan Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Bukit Aman (11) dalam kes itu, Shazeli menjelaskan pasukan berkenaan akan digerakkan sekiranya diperlukan.
Terdahulu, media melaporkan suspek berusia 14 tahun yang didakwa menikam rakan sekolahnya sehingga maut itu dikatakan memendam perasaan terhadap mangsa.
Siasatan mendapati suspek mempunyai perasaan terhadap remaja perempuan terbabit walaupun mereka berada dalam kelas berbeza.
Berdasarkan siasatan setakat ini, polis percaya suspek mempunyai perasaan terhadap mangsa tetapi tidak pernah meluahkan kepadanya.




