ad

Selangor salur RM1 juta beri vaksin influenza percuma, lindungi murid empat daerah

2 Nov 2025, 3:00 AM
Selangor salur RM1 juta beri vaksin influenza percuma, lindungi murid empat daerah
Selangor salur RM1 juta beri vaksin influenza percuma, lindungi murid empat daerah
Selangor salur RM1 juta beri vaksin influenza percuma, lindungi murid empat daerah

SHAH ALAM, 2 NOV: Pemberian vaksin influenza percuma kepada 12,500 murid di empat daerah yang mencatatkan kes tertinggi di Selangor akan dilaksana bermula minggu depan, maklum EXCO kesihatan awam.

Jamaliah Jamaluddin berkata melibatkan daerah Petaling, Klang, Gombak dan Hulu Langat menerusi peruntukan RM1 juta, inisiatif berkenaan bagi memastikan kanak-kanak khususnya dari keluarga berpendapatan rendah (B40) dilindungi daripada jangkitan influenza serta mengurangkan penularannya dalam komuniti.

“Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menyarankan agar murid berusia lapan tahun dan ke bawah menerima dua dos vaksin influenza, kecuali bagi mereka yang telah menerima vaksin sama sebelum ini.

“Langkah ini penting bagi memastikan perlindungan imunisasi lebih optimumterhadap jangkitan dalam kalangan kanak-kanak berisiko tinggi,” katanya.

Menurutnya, program itu melibatkan dua kaedah iaitu menerusi program jangkauan di sekolah dengan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan secara datang terus ke Klinik Selcare atau klinik panel.

Ibu bapa perlu mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah). 

Jelasnya, pasukan jangkauan akan digerakkan ke sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bagi memberi vaksin influenza kepada sekitar 4,720 murid berumur lapan tahun ke bawah daripada golongan B40.

“Setiap murid akan menerima risalah maklumat lengkap mengenai program ini beserta kod QR untuk ibu bapa mendaftar melalui aplikasi SELangkah.

“Kerajaan Negeri melalui Selcare Management Sdn Bhd akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri, pihak pentadbiran sekolah dan Pusat Khidmat Masyarakat bagi memastikan kelancaran program jangkauan,” katanya.

Selain itu, bagi kanak-kanak daripada keluarga B40 dan mempunyai komorbid atau penyakit kronik, tetapi tidak berada di sekolah dengan PPKI, boleh datang terus ke Klinik Selcare dan klinik panel untuk mendapatkan vaksin.

“Ibu bapa perlu mendaftar danmengesahkan status melalui aplikasi SELangkah sebelum hadir ke klinik,” katanya.